Mungkinkah pilihan raya kecil di Kuala Kangsar?

11 02 2009

Peta negeri Perak..

Rafidah Aziz

Pada 15 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan kes petisyen pilihan raya yang melibatkan Parlimen Kuala Kangsar. Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan tersebut ialah Hakim Besar Borneo, Tan Sri Richard Malanjun, Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Datuk Augustine Paul.

Saya dan beberapa peguam PAS yang lain mewakili Perayu manakala Rafidah Aziz diwakili oleh Feroz Husin manakala SPR diwakili oleh Amarjit Husin. Pada 3 Julai 2008, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz. Hakim Datuk Zakaria Sam menolak tanpa kos petisyen itu.


Dalam keputusannya, Zakaria berkata Rafidah telah menandatangani borang asal kertas penamaan calon manakala dua lagi kertas penamaan yang tidak ditandatangani adalah borang salinan, dan ini sudah cukup untuk membuktikan beliau memang berhasrat bertanding bagi kerusi berkenaan.

Katanya Pegawai Pilihan Raya juga telah menjalankan kuasanya untuk menerima kertas pencalonan tersebut kerana beliau mempunyai kuasa untuk membuat pertimbangan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Petisyen berkenaan dikemukakan oleh seorang pengundi, Ahmad Jamaluddin Abdul Majid yang memohon keputusan pengundian bagi kerusi Kuala Kangsar disytiharkan batal dan tidak sah kerana Rafidah, yang dinamakan sebagai responden pertama, didakwa telah gagal untuk menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.


Meskipun Hakim Datuk Zakaria Sam menolak petisyen tersebut, beliau bagaimanapun enggan menganugerahkan kos kepada Rafidah kerana menurutnya disebabkan ‘kebodohan’ Rafidah mengisi Borang Penamaan tersebutlah mengakibatkan petisyen tersebut difailkan di Mahkamah, maka di atas faktor ‘kebodohan’ tersebut Rafidah tidak layak menerima kos.

Semasa di Mahkamah Persekutuan, saya berhujah bahawa kesilapan Rafidah yang gagal menandatangani dua daripada tiga Borang Penamaan Calon adalah satu kesilapan yang ‘substantial’ dan yang demikian pegawai pengurus, saya hujahkan, tidak mempunyai pilihan kecuali menolak kertas penamaan calon yang dikemukakan oleh Rafidah.

Saya hujahkan berdasarkan Peraturan 4(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (selepas ini dirujuk sebagai Peraturan tersebut) kertas penamaan (Borang 4) hendaklah dikemukakan dalam tiga salinan dan setiap salinan hendaklah ditandatangani oleh calon sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 4(5) peraturan tersebut. Kegagalan Rafidah menandatangani dua daripada tiga salinan kertas penamaan (fakta ini tidak dipertikaikan oleh Rafidah dan SPR) boleh menyebabkan kertas penamaan calon beliau ditolak oleh Pegawai Pengurus di bawah Peraturan 4(6) peraturan tersebut.

Saya seterusnya berhujah bahawa tandatangan calon di dalam borang penamaan calon adalah amat penting kerana ia melibatkan isu persetujuan (consent). Saya berhujah bahawa semasa hari penamaan calon, calon tidak wajib hadir. Yang wajib hadir adalah pencadang dan penyokong.

Sebab itulah, saya hujahkan, meskipun calon ditahan di bawah ISA, beliau masih boleh mengemukakan borang pencalonan dengan syarat beliau bersetuju dengan pencalonan tersebut.
Persetujuan calon dinilai dari tanda tangan calon di borang penamaan calon tersebut. Oleh itu saya hujahkan isu tanda tangan calon adalah isu yang amat penting kerana melibatkan isu persetujuan calon dan yang demikian “it goes to the foundation /roots of the nomination” (ia pergi kepada asas utama penamaan calon tersebut).

Dato’ Augustine Paul yang banyak mencelah semasa saya berhujah bertanyakan soalan ini kepada saya: “Bukankah satu daripada tiga borang penamaan calon tersebut telah ditandatangani oleh Rafidah. Tidakkah ini menunjukkan bahawa beliau telah bersetuju dengan pencalonan tersebut?”

Saya menjawab: “Jika menandatangani satu borang sudah mencukupi, mengapakah Rafidah tidak mengemukakan satu borang pencalonan sahaja? Kenapa beliau hantar tiga borang? Ini menunjukkan keperluan menandatangani tiga borang adalah satu yang mandatori.

Seterusnya saya hujahkah mengapakah undang-undang meletakkan syarat tiga borang yang diisi dengan sempurna dan ditandatangani oleh calon hendaklah dikemukakan. Saya hujahkah bahawa rasional tiga borang tersebut adalah satu salinan dikemukakan kepada pegawai pengurus manakala dua lagi hendaklah ditampal di luar bilik penamaan calon untuk ditunjukkan kepada para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar.


Ini menunjukkan, hujah saya, bahawa undang-undang menghendaki bukan sahaja pegawai pengurus dimaklumkan bahawa calon bersetuju dengan pencalonannya, para pengundi juga harus dimaklumkan bahawa Rafidah telah bersetuju dengan pencalonan beliau. Sebab itu undang-undang membenarkan bantahan dibuat ke atas kertas penamaan.
Yang Arif Datuk Zulikifli pula bertanya: “Meskipun dua borang pencalonan tidak ditandatangani, tidakkah SPR diberi kuasa untuk melihat dokumen-dokumen lain yang dikemukakan bagi tujuan untuk melihat isu persetujuan ini?”

Saya menjawab bahawa isu sama ada SPR perlu melihat kepada dokumen-dokumen lain bergantung kepada ‘nature’ kesalahan di dalam borang penamaan calon tersebut. Adakah kesalahannya bersifat ‘substantial’ atau hanya kesalahan kecil yang boleh dibaiki (curable).


Saya berhujah di dalam kes ini kesalahan tidak menandatangani dua dari tiga borang pencalonan adalah satu kesalahan yang ‘substantial’ dan tidak boleh dibaiki (not curable) kerana ia pergi kepada isu persetujuan calon. Ia berbeza dengan kesalahan seperti kesalahan ejaan nama atau salah menulis tempat seperti di dalam kes-kes sebelum ini seperti kes di Dun Pantai Remis dan Parlimen Gua Musang di mana kesalahan-kesalahannya melibatkan isu tempat yang boleh dibaiki di bawah Peraturan 4(6A)(c) peraturan tersebut.

Saya berhujah meskipun Peraturan 4(6A) peraturan tersebut membenarkan Pegawai Pengurus untuk tidak menolak kertas penamaan bagi lima ketegori kesalahan yang dinyatakan di dalam peraturan 4(6A)(a) hingga (e) tetapi kes Rafidah ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori (a) hingga (e) Peraturan tersebut.

Hakim Richard Malanjun mencelah dan bertanyakan saya bukankah kesalahan tersebut boleh termasuk di dalam kategori (d) yang memperuntukkan kesalahan yang boleh dibaiki tetapi saya hujahkan begini: “Yang Amat Arif, jika Yang Amat Arif melihat kepada ketegori (d) ia bukan hanya menyebut kesalahan yang boleh dibaiki tetapi ia juga menyebut kesalahan tersebut hendaklah dibaiki.”

Oleh itu saya hujahkan jika benar pun kesalahan tersebut boleh dibaiki, di dalam kes ini Rafidah tidak membaiki kesalahan tersebut. Maka, saya hujahkan Rafidah tidak boleh berlindung di bawah ketegori (d) tersebut. Hakim hanya mengangguk kepalanya.

Akhirnya Hakim Dato’ Augustine Paul bertanya soalan: “Jika benar tindakan SPR atau Pegawai Pengurus telah melanggar undang-undang, adakah ianya menjejaskan keputusan pilihan raya?
Saya menjawab kepada beliau saya sudah mengagak bahawa beliau akan bertanya soalan tersebut. Saya hujahkan bahawa berdasarkan Peraturan 7(5) peraturan tersebut, undang-undang dengan secara spesifik membenarkan pihak yang terkilan dengan keputusan Pegawai Pengurus boleh memfailkan petisyen di bawah seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Saya hujahkan bahawa memandangkan keputusan Pegawai Pengurus boleh dicabar di bawah seksyen 32(b) ini bermakna petisyen boleh difailkan di atas isu ini sahaja. Ia menunjukkan bahawa pempetisyen tidak perlu membuktikan isu keputusan terjejas atau tidak. Sebagai contoh, jika katakan bantahan PAS diterima dan borang Rafidah ditolak maka Rafidah juga berhak memfailkan petisyen, maka bagaimanakah Rafidah boleh membuktikan terjejasnya keputusan pilihan raya jika pilihan raya tidak diadakan sama sekali.

Jelas keputusan pilihan raya di dalam konteks seksyen 7(5) peraturan adalah merujuk kepada keputusan Pegawai Pengurus. Hujah telah diberi dan Mahkamah Persekutuan telah menangguhkan tarikh keputusan. Akan adakah pilihan raya kecil Kuala Kangsar? Sama-sama kita tunggu.- tajdi

Penulis artikel : Mohamad Hanipa Maidin sumber: harakah


Actions

Information

2 responses

12 02 2009
Mak Su

saya tumpang lalu di sini sir Nik, tak berapa paham situasi

12 02 2009
sir NIK

salam…Mak su.

artikel tersebut menjurus kpd Petisyen yang telah dikemukakan oleh oleh Calon Pas untuk membatalkan Pilihanraya Kuala Kangsar yang telah dimenangi oleh Rafidah Aziz, ini adalah disebabkan Rafidah terlupa utk menandatangani 2 daripada Borang 4menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Tak sain borang 4, maknanya tidak ikut peraturan SPR, skrg ni Mahkamah akan membuat keputusan tak lama lagi..kalau mahkamah memihak kpd calon Pas, Pilianraya semula akan dijalankan..( Bukit Gantang, dan Kuala kangsar ) dah lama jadi ahli parlimen pun BODOH!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: