Gunung Paling Masyhur: Gunung Ledang..

31 12 2008


Gunung Ledang

Ini adalah entri pertama aku selaps tahun baru 2008. Dah lama tidak bercerita tentang sejarah. Sebenarnya aku paling meminati sejarah, tidak kiralah sama ada sejarah dunia ke, sejarah dalam negara ke atau sejarah di luar negara. Mungkin apa yang aku cerita ini sudah diketahui oleh rakan-rakan, tak mengapalah..anggaplahnya sebagai penambahan ilmu pengetahuan sahaja ye.. terutamanya orang-orang di negeri Johor. Tajuk entri aku yang pertama di Tahun 2009 ini ialah tentang, sebuah Gunung yang paling masyhur di bukan sahaja terkenal di Johor, malah seluruh pelusuk Asia Tenggara. Aku pernah datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadinya yang sungguh segar dan mendamaikan jiwa.

Gunung Ledang penuh dengan sejarah. penuh kemasyhuran dan penuh dengan cerita dan kisah-kisah legenda ( eidafatiha dan Cik Ian mesti dah tahu punya kan..takpe..anggap lah satu penambahan ilmu sahaja..). Paling diingati dan masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini, ” Betul ke Puteri Gunung Ledang wujud?”. dan “Betul ke Sultan Melaka membina jambatan emas dari puncak Gunung Ledang hingga ke istana Melaka, Sultan Mahmud Syah itu?”. Kalaulah benar cerita itu, di manakah dia jambatan emas itu? atau setidak-tidaknya kesan-kesan peninggalannya boleh dilihat sampai ke hari ini.. Bagi orang Johor, cerita Puteri Gunung Ledang bukan cerita dongeng. Puteri ini dikatakan memang wujud dan masih hidup sehingga sekarang. Tetapi ianya bukan orang biasa sebaliknya orang halus atau orang bunian. Banyak cerita-cerita orang dahulu (ramai kawan-kawan saya orang Johor) berdampingan dengan Puteri Gunung Ledang ini untuk mendapatkan pertolongan bagi mengubati orang sakit. Cerita-cerita itu diturunkan dari generasi ke generasi yang diyakinkan kerana gambaran tentang Puteri Gunung Ledang itu, serta suasana tempat kediamannya selalunya sama dan tidak bercanggah. Namun tidak semua yang bernasib baik dapat bertemu dan berdampingan dengan puteri bunian yang berasal dari Tanah Jawa itu. Walau apapun yang yang terjadi, walau apapun yang diperkatakan, Gunung Ledang tetap menjadi sebuah gunung yang termasyhur di Malaysia. semenjak zaman dahulu hingga kini dan selama-lamanya selagi kisah Puteri Gunung Ledang itu disebut-sebut.

Melihat Gunung Ledang dari sudut geografi, ia terletak di kawasan Sagil, dalam daerah Tangkak yang bersempadanan dengan daerah Jasin di Melaka. Gunung setinggi 4,187 kaki (dari aras laut) silamnya dipanggil “Mount Ophir” oleh orang-orang Portugis.( sumber sejarah Melaka di Perpustakaan Lisbon, Portugal) yang menguasai negeri Melaka pada tahun 1511. Di kawasan gunung ini juga pernah diceritakan wujudnya emas dan pernah ditemui di suatu kawsan gunung yang dinamakan Gunung Gemih. Cerita orang dahulu,, ketika Gunung Ledang masih baru didaki orang dan belum mendapat jalan mendaki seperti sekarang. Sesiapa yang sedang mendakinya akan merasakan sesuatu yang luarbiasa seolah-olah sedang berada di suatu tempat yang sangat indah. Maknanya semangat Puteri Gunung Ledang masih wujud di Gunung Ledang. ANTARA MAKLUMAT PENTING BERKAITAN SEJARAH GUNUNG LEDANG YANG BELUM DIKETAHUI UMUM IALAH:

  1. Ledang, menurut Kamus Dewan ialah dari segi Bahasa Jawa yang bererti menunjuk-nunjukkan diri seseorang yang ego.
  2. Adalah dipercayai, nama Gunung Ledang ini dicipta oleh Kerajaan Majapahit yang telah berkuasa di negeri ini sebelum kebangkitan kerajaan Melaka. Maksudnya Gunung Ledang itu ialah gunung yang tinggi.
  3. Maklumat daripada Sejarah China pula, Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat Gunung Ledang. Beliau dikatakan melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang dan mengambil contoh emas-emas tersebut untuk pengetahuan rajanya.
  4. Di keliling kemuncak Gunung Ledang terdapat 7 buah kemuncak rendah. Setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.
  5. Yang paling aneh sekali ialah Legenda Gunung Gemih yang ceritanya ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas.
  6. Dalam peta lama Portugis, nama GEMIH ini ditulis sebagai “GUMMAY” yang bermaksud sebuah pusat perusahan emas.
  7. Menurut kolonel Gerini ( 1904 ), Gemih masih merupakan pusat perlombongan emas orang-orang Melayu di Gunung Ledang sehingga tahun 1817.
  8. Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat telah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894, apabila dileburkan didapati mengandungi emas.

Kini suasana itu sudah berlalu, setelah beribu-ribu manusia dengan bermacam-macam perangai dan ragam menyentuh, memotong dan mengganggu dara gunung ini, sehingga hikmat yang ada padanya telah hilang. Ada sesuatu yang istimewa di Gunung Ledang yang penuh dengan legenda ini, iaitu terdapat 3 puncak yang salah satunya dinamakan sebagai Puncak Mahligai, dipercayai puncak tempat Puteri Gunung Ledang bersemayam dan bermain-main dengan dayangnya. Penemuan taman yang penuh dengan bunga orkid yang indah dan tersusun rapi oleh Alfred Wakauce, seorang sejarahwan British pada tahun 1854, tidak boleh dianggap sebagai biasa. Mungkinkah di tempat itu tempatnya Hang Nadim bertemu Puteri Gunung Ledang untuk menyampaikan hajat hati Sultan Melaka hendak meminang puteri yang cantik dan jelita itu? Ataukah di situ tempat Puteri Gunung Ledang menyamar sebagai perempuan tua yang menguji kesabaran utusan Sultan Melaka ini, hanya Allah swt saja yang Maha Mengetahui..








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.